Section outline


  • Pengenalan



    Assalamualaikum dan hai semua! 

    Pernah tak anda berbual dengan seseorang dan merasa seperti mereka benar-benar memahami apa yang anda rasakan? Ini adalah contoh bagaimana empati boleh mengubah cara kita berkomunikasi dan memahami orang lain. Dalam dunia yang penuh dengan maklumat dan cara interaksi, empati adalah alat yang sangat penting. Empati adalah sebahagian daripada kecerdasan emosi, dimana ia adalah satu kemahiran yang sangat berguna. Ia bukan sahaja membantu kita memahami orang lain dengan lebih baik tetapi juga dapat meningkatkan kualiti komunikasi kita. Mari kita lihat bagaimana empati boleh menjadi alat transformasi dalam kehidupan seharian kita!

  • Hasil Pembelajaran

    1. Memahami konsep empati sebagai alat komunikasi yang berkesan.
    2. Mengenalpasti cara-cara untuk menggunakan empati dalam meningkatkan hubungan interpersonal.
    3. Mengaplikasikan teknik empati dalam pelbagai situasi komunikasi, baik secara peribadi mahupun profesional.

  • Bahan Pembelajaran Utama

    Empati adalah lebih daripada sekadar memahami apa yang orang lain rasa dan katakan. Empati adalah berkenaan cara memahami dan menyelami perasaan orang lain dan melihat situasi melalui mata mereka. Terdapat beberapa langkah utama untuk menggunakan empati sebagai alat komunikasi:

    • Mendengar secara aktif: Ini bermakna memberi perhatian sepenuhnya kepada orang yang bercakap tanpa sebarang gangguan.
    • Menyuarakan pemahaman: Menggunakan frasa seperti "Saya faham apa yang anda rasakan" atau "Saya boleh bayangkan betapa sukarnya situasi ini untuk anda" dapat menunjukkan bahawa anda benar-benar peduli.
    • Mengelakkan penghakiman: Sebagai manusia, kita cenderung untuk menilai. Namun, empati yang baik adalah dengan mengelakkan dari membuat penghakiman awal dan hanya mendengar.
    • Respon dengan empati: Bukan sekadar kata-kata, tetapi juga diikuti dengan tindakan. Tindak balas boleh menjadi sekadar mendengar, memberi sokongan, atau membantu menyelesaikan masalah.

  • Aktiviti Pembelajaran Kendiri

    1. Eksperimen komunikasi: Pilih satu perbualan yang penting, sama ada dengan ahli keluarga, rakan, atau rakan sekerja. Gunakan pendekatan empati dalam perbualan tersebut dan catat perbezaan yang anda perhatikan dalam perbualan tersebut.
    2. Refleksi Harian: Setiap hari, ambil masa 5 minit untuk refleks bagaimana anda telah menggunakan kemahiran empati dalam interaksi anda. Bagaimana ia membantu meningkatkan komunikasi dengan orang lain? Apakah cabaran yang anda hadapi?

  • Penilaian Kendiri

    Cuba jawab soalan-soalan berikut:

    1. Bagaimanakah empati dapat mengubah cara kita berkomunikasi?
    2. Apakah langkah-langkah utama untuk mengamalkan empati dalam komunikasi?
    3. Berikan sebab mengapa kita perlu menggelakkan diri dari membuat penghakiman awal dalam komunikasi. 

  • Jawapan Penilaian Kendiri

    1. Empati membantu kita memahami orang lain dengan lebih mendalam, meningkatkan kepercayaan, dan mengurangkan konflik dalam komunikasi.
    2. Langkah-langkah utama termasuk mendengar secara aktif, menyuarakan pemahaman, mengelakkan penghakiman, dan respon dengan empati.
    3. Mengelakkan dari membuat penghakiman awal membolehkan kita mendengar tanpa prajudis atau berat sebelah, dapat membuka ruang untuk pemahaman yang lebih mendalam, dapat meningkatkan komunikasi dan hubungan yang lebih baik.

  • Ringkasan

    Empati adalah alat transformasi yang boleh mengubah cara kita berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Dengan mendengar, memahami, dan memberi respon dengan empati, kita boleh membina hubungan yang lebih kukuh, mengurangkan konflik, dan memperbaiki cara berkomunikasi dalam semua aspek kehidupan kita.

  • Kata Kunci

    1. Empati: Keupayaan untuk merasakan apa yang orang lain rasa dan memahami perspektif mereka.
    2. Mendengar secara aktif: Mendengar dengan penuh perhatian tanpa gangguan.
    3. Penghakiman: Membuat penilaian atau keputusan mengenai seseorang atau sesuatu berdasarkan pendapat peribadi.

  • Rujukan

    1. Goleman, D. (1995). Emotional Intelligence: Why It Can Matter More Than IQ. Bantam Books.
    2. Rogers, C. R. (1957). The Necessary and Sufficient Conditions of Therapeutic Personality Change. Journal of Consulting Psychology.
    3. Brown, B. (2018). Dare to Lead: Brave Work. Tough Conversations. Whole Hearts. Random House.

  • Slide Power Point dan Rakaman Video

    Berikut adalah slides Power Point  dan rakaman video.......